Industri muzik tempatan bakal diserikan dengan sebuah karya raya baharu berjudul “Aidilfitri Menjelma”, hasil ciptaan dan inisiatif penyanyi serta penerbit, MoShark. Lagu ini menghimpunkan gabungan suara mantap daripada Nine Phyneballerz, Varian, Masriezan Masri, Achik The Zikr, Tuah SAJA dan RaeQids, menjadikan ia sebuah projek kolaborasi yang cukup istimewa sempena Syawal.
Menurut MoShark, idea menghasilkan lagu ini tercetus daripada keinginan untuk menyatukan beberapa sahabat seni dalam sebuah karya yang membawa mesej kekeluargaan, kemaafan dan kesyukuran. “Aidilfitri Menjelma” menampilkan susunan muzik yang segar dengan sentuhan tradisional dan moden, sekali gus memberi nafas baharu kepada lagu raya kontemporari.
Keunikan lagu ini turut diserikan dengan irama pukulan djembe secara langsung oleh Achik The Zikr, yang memberikan elemen ritma berbeza dan lebih ‘hidup’ pada keseluruhan komposisi. Gabungan vokal pelbagai karakter pula menjadikan bahagian korus kedengaran lebih padu, harmoni dan mudah melekat di hati pendengar.
Walaupun baru sahaja dikongsi sebahagian korus di media sosial, lagu ini sudah menerima maklum balas yang sangat positif. Ramai peminat menyatakan lagu tersebut “sedap” dan berpotensi menjadi antara lagu raya pilihan tahun ini. Sambutan awal ini jelas meningkatkan keterujaan orang ramai untuk menantikan pelancaran penuh.
Lebih menarik, muzik video (MV) rasmi “Aidilfitri Menjelma” dijadualkan menemui penonton pada 10 Mac. MV ini turut menampilkan kemunculan istimewa Elliza Razak, yang pastinya menambah tarikan dan nostalgia kepada peminat industri hiburan tempatan.
MoShark juga merancang untuk mengadakan tayangan perdana (premiere) MV ini secara LIVE di YouTube, bagi memberi peluang kepada peminat menonton bersama barisan artis yang terlibat serta berinteraksi secara langsung. Namun begitu, butiran lanjut masih belum diumumkan dan para peminat diminta untuk terus mengikuti perkembangan daripada MoShark Production.
Menambahkan lagi kemeriahan projek ini, MV “Aidilfitri Menjelma” ditaja sepenuhnya oleh MoMo Cookies, manakala Bee Scoot tampil sebagai rakan penaja rasmi.
Dengan gabungan nama-nama berbakat, susunan muzik yang unik serta sokongan padu daripada penaja dan peminat, “Aidilfitri Menjelma” dilihat berpotensi menjadi antara lagu raya yang meninggalkan kesan mendalam tahun ini. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi dan kemunculan penuh MV yang pastinya menjanjikan sesuatu yang istimewa.